WONG SHU QI
3 min readMar 6, 2020

--

Kempen Celik Media perlu disegerakan

Pada Oktober 2019, Dewan Rakyat Malaysia telah memansuhkan satu lagi undang-undang zalim peninggalan rejim lama iaitu, Undang-undang Akta Anti-berita Tidak Benar 2018. Dengan pemansuhan akta tersebut, kerajaan perlu menyegerakan usaha pendidikan celik media bagi mengatasi masalah berita palsu.

“Berita palsu” ialah suatu frasa yang menjadi trend sebutan masa kini. Namun, apa sebenarnya maksud “berita palsu”? Apakah berita palsu itu suatu pengkisahan yang mengandungi maklumat yang salah seperti nama, angka dan sebagainya? Ataupun berita palsu itu suatu cerita yang dipetik luar daripada konteks kejadian?

Hakikatnya, berita yang 100% palsu ialah fiksyen dan dongeng semata-mata. Cerita dongeng senang untuk dikesan. Apa yang menjadi masalah ialah, apabila sesuatu berita itu mengandungi maklumat salah yang disengajakan bagi tujuan memberikan gambaran yang tidak tepat ataupun tidak benar terhadap sesuatu kebenaran. Contohnya, berita yang hanya mengisahkan sebahagian daripada fakta, atau berita yang memanipulasikan fakta bagi mewujudkan persepsi yang tidak benar. Berita sebegini tidak boleh dikatakan palsu keseluruhannya, namun ia jelas tidak menggambarkan kebenaran. Perkara ini disebut sebagai disinformasi.

Disinformasi ataupun “disinformation” ialah frasa yang diguna semasa Perang Dingin untuk merujuk kepada taktik propaganda di mana maklumat palsu disebarkan secara sengaja untuk mempengaruhi pemikiran orang awam.

Pakar psikologi dan pakar komunikasi sudah banyak melaporkan tentang kecenderungan mental kita seperti kecenderungan pengesahan (“confirmation bias”), percanggahan kognitif (“cognitive dissonance”), dan keyakinan terlampau (“overconfidence”). Maka adalah pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas kelemahan tersebut, contohnya menggunakan retorik kaum untuk menyakinkan orang lain tentang sesuatu perkara kerana mereka tahu bahawa, isu kaum merupakan isu yang sentimental kepada kita. Perkara ini sememangnya amat merbahaya dan mengancam kestabilan institusi demokrasi.

Justeru, isu pokok sekarang ialah kaedah kita mengatasi disinformasi ini. Semasa perbahasan memansuhkan Akta Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berulang kali menyatakan bahawa ada banyak negara lain yang telahpun menggubal perundangan anti-berita palsu dan ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah disinformasi. Sebaliknya, Ahli-ahli Parlimen Kerajaan menegaskan bahawa undang-undang yang sedia ada sudah memadai untuk menangani masalah berkaitan penyebaran fitnah, maklumat salah yang disengajakan dan sebagainya.

Namun, adakah benar bahawa negara yang sudah menggubal akta anti-berita palsu berjaya untuk menyelesaikan masalah tersebut? Jawapannya adalah tidak.

Sebuah badan pemikir antarabangsa, Open Society Institute, telah melaporkan dalam Indeks Celik Media (Media Literacy Index) bahawa negara-negara Eropah yang paling berdaya tahan (“resilient”) terhadap disinformasi ialah negara-negara Eropah utara seperti Finland, Denmark, Netherlands, dan Sweden. Mengapa? Kerana negara-negara ini mempunyai sistem pendidikan yang memupuk pemikiran kritis dan nilai-nilai yang baik seperti amanah, bertanggungjawab, jujur dan sebagainya.

Sebaliknya, negara-negara Eropah yang telah menggubalkan perundangan anti-berita palsu, tidak terangkum dalam lima kedudukan paling tinggi. Sekiranya Malaysia mahu mencontohi model mana-mana negara, lebih baik kita mencontohi model yang paling baik.

Antara semua negara tersebut, Finland ialah juara dalam aspek mengatasi disinformasi. Mereka memulakan pendidikan celik media dari tadika sehingga ke universiti. Melalui pendidikan celik media, para pelajar dididik untuk meneliti maklumat supaya mereka berupaya menganalisa, menilai, dan memikirkan sama ada bahan-bahan yang disebarkan adalah benar atau sebaliknya.

Kerajaan Harapan tidak menafikan ancaman disinformasi terhadap masyarakat kita. Masalah disinformasi boleh membawa kepada masalah ketidakpercayaan di kalangan rakyat. Kita akan memilih maklumat yang sama dengan pandangan dunia atau “worldview” kita sahaja. Akhirnya, keadaan ini akan mengakibatkan polarisasi masyarakat yang semakin serius.

Walau bagaimanapun, kaedah hukuman tidak akan dapat menghalang orang ramai daripada penyebaran disinformasi sekiranya mereka beranggapan sesuatu disinformasi itu adalah benar. Cara yang paling efisien dan baik adalah mengupayakan rakyat Malaysia, agar mempunyai keupayaan menilai kesahihan maklumat yang sampai kepada mereka. Bak kata pepatah orang cina, khabar angin akan terlerai apabila sampai kepada orang bijak.

Biar kita menjadi orang yang bijak, bijak menilai maklumat, bijak berkongsi maklumat; tidak pasti jangan kongsi.

*Artikel ini kali pertama disiarkan oleh Berita Harian pada 31hb Oktober 2019.

--

--

WONG SHU QI

Member of Parliament for Kluang, Malaysia. A former journalist, an advocate for media literacy.